Sunday, August 30, 2020

MALANGKAH AKU JIKA AKU BUKAN MURID ALIRAN SAINS?

Kita.

Bukan anak-anak kita. Tapi kita.

Kita dimomokkan tentang betapa bagus jika anak kita adalah murid aliran sains tulen. Bangganya kita bila anak kita mengambil mata pelajaran Biologi, Fizik, Kimia dan Matematik Tambahan. Hebatnya anak kita bila bergraduasi sebagai mahasiswa aliran sains.

Tanpa sedar, sedikit sebanyak kita telah menjadi stereotype. Aliran Sains Tulen itu untuk murid-murid pandai. Baki aliran lain adalah untuk murid-murid lemah. Hakikat ini terpaksa ditelan sehingga kita lupa betapa murid itu adalah pelbagai. Kebolehan, kemahiran, kecekapan dan minat mereka berbeza-beza.

Masakan mungkin kita mengajar ikan terbang dan burung berenang?

Jika burung itu berada di laut, pastinya burung itulah yang paling bodoh, paling tiada guna dan paling tiada hebatnya.

Jika ikan berada di udara, pasti mati terhempas ke bumi.

Adakah kita zalim kerana tidak meletakkan anak kita ditempatnya?

Adakah kita telah buat yang terbaik dengan meletakkan anak kita di tempat yang hebat di mata orang tetapi anak sendiri sengsara?

Saya menulis bukan menganggap Sains Tulen tidak bagus, Sains Tulen bagus. Apa yang tidak bagus adalah apabila kita menganggap aliran lain itu tidak bagus sehingga ada murid yang berasa rendah diri kerana tidak ditempatkan di kelas Sains Tulen.

Salah satu subjek yang sering dipandang rendah adalah subjek Perniagaan. Ya, subjek Perniagaan dikategorikan sebagai subjek elektif. Tidak wajib untuk ambil. Namun jika kita kaji dana amati, subjek Perniagaan merupakan suatu subjek yang memerlukan pemikiran kritis dan kreatif. Mengkaji psikologi manusia, budaya, sensitiviti, trend dan kepelbagaian memerlukan lebih empati dan emosi. Memerlukan kita berfikir di luar kotak, jawapan yang difikirkan pastinya tiada pada apa yang terpapar, tetapi apa yang disembunyikan.

Soal kerjaya? Tidakkah majikan di seluruh dunia ini majoritinya adalah individu yang datang daripada latar belakang Sains Sosial? Jadi kenapa rendah diri? Mentaliti bekerja sendiri sebagai kerjaya yang lekeh juga perlu diperbetulkan. Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W juga bekerja sendiri dengan berniaga. Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Berniaga itu sunnah baginda. Adakah kita malu melakukan sunnah baginda?

Sebuah hadith yang masyhur dalam kalangan masyarakat berkaitan kepentingan berniaga. Antaranya adalah:

عَلَيْكُمْ بِالتِّجَارَةِ فَإِنَّ فِيْهَا تِسْعَةَ أَعْشَارِ الرِّزقِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu berniaga kerana padanya 9 daripada 10 rezeki." 

تِسْعَةُ أَعْشَارِ الرِّزْقِ فِي التِّجَارَةِ

Maksudnya: “9 daripada 10 rezeki berada pada perniagaan.”

Seorang jurutera atau doktor tetaplah menjadi seorang jurutera dan doktor walau seinggi manapun pendidikannya, Namun jika seorang jurutera atau doktor mula mendalami ilmu perniagaan, pastinya jurutera dan doktor akan berubah menjadi usahawan pembinaan atau memiliki klinik persendirian yang mana asas wujudnnya adalah perniagaan.

Kesimpulannya, jika semua orang ingin menjadi burung, siapa pula yang ingin menjadi ikan? Setiap orang pasti bersinar jika ditempatkan di tempat yang betul. Kita yang perlu menggilap sinaran tersebut.

Berhenti melabel, menghukum, dan memandang rendah. 

Mula berikan semangat dan sokongan. Semoga hidup kita semua seimbang dan gembira.

Buat murid-murid cikgu, jangan rasa rendah diri, teruskan berusaha dan binalah legasi dan empayar atas jenama dan usaha sendiri. Cikgu sentiasa doakan kejayaan semua.

Cikgu Nur.

No comments:

Post a Comment

MALANGKAH AKU JIKA AKU BUKAN MURID ALIRAN SAINS?

Kita. Bukan anak-anak kita. Tapi kita. Kita dimomokkan tentang betapa bagus jika anak kita adalah murid aliran sains tulen. Bangganya kita b...